Umat Islam Sambut Maulidur Rasul Kali Kedua Tahun ini, Hari ini



KUALA LUMPUR: Umat Islam seluruh dunia meraikan kelahiran Nabi Muhammad SAW atau Maulidur Rasul dua kali tahun ini, iaitu pada 3 Januari lalu bagi tahun 1436H dan hari ini bagi tahun 1437H.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha, berkata persiapan majlis sambutan peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang berjalan lancar dengan raptai penuh diadakan pagi Rabu.

"Persiapan sudah berada pada tahap 90 peratus dan kami juga sudah menyediakan sebanyak 12,000 buah kerusi yang akan diletakkan di dalam dewan untuk 125 kontinjen daripada pelbagai badan awam dan swasta.

"Tahun ini kita ada kira-kira 200 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang akan turut menyertai perarakan kita sambil berselawat. Kami harap ini akan  menarik orang ramai untuk ikut serta," katanya ketika dihubungi.

Othman berkata sambuatan yang biasanya diadakan di masjid ditukar lokasinya ke dewan yang lebih besar untuk mengelak kesesakan.

"Sebelum ini bila kita adakan sambutan di masjid, banyak kontinjen yang tidak boleh masuk dan banyak antara mereka terpaksa berkumpul di luar," katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah, dijadual berangkat ke majlis itu, katanya.

Upacara itu akan disiarkan secara langsung di RTM TV1 dan disambung siar di  TV Al-Hijrah.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui catatan terbaru dalam laman blog beliau www.najibrazak.com memohon umat Islam memanjatkan kesyukuran di atas sambutan Maulidur Rasul berganda tahun ini.

"Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW begitu besar kepada kita umat Islam. Baginda bersama para Sahabat telah menanggung pelbagai kesusahan dan penderitaan dalam memartabatkan syiar dan syariat Islam serta membina ummah ini," kata Najib.

Sementara itu Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Paimuzi Yahya berkata sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan pada tahun ini akan diadakan di Masjid Al-Mukhlisin, Cheras, pada malam ini.

"Program kami akan bermula selepas solat maghrib dengan ceramah khas maulidur rasul yang akan disampaikan oleh (Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia).

"Sambutan Maulidur Rasul kali ini juga turut menyediakan 11 kategori anugerah khas maulidur rasul yang melibatkan individu dan organisasi. Pemenang akan menerima hadiah wang tunai dan trofi," katanya.

Beliau berkata lebih 1000 orang dijangka hadir terdiri daripada wakil pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan masjid-masjid serta orang awam. -Sumber
KONGSIKAN ARTIKEL INI..
Previous
Next Post »

.Assalamualaikum.
.Sila Tinggalkan Comment Anda Di Sini.
SATU pun jadi lah ! hehe. EmoticonEmoticon